Jalur Gemilang
Berita :
PASTI Semakin Mendapat Pengiktirafan
PASTI Semakin Mendapat Pengiktirafan
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
18 jam yang lepas
66

DUNGUN, 29 November– Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) kini semakin mendapat pengiktirafan dan perhatian masyarakat sebagai antara institusi pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti, bukan sahaja dari aspek akademik malah dalam membentuk asas agama, akhlak dan jati diri.

Ahli Parlimen Dungun, Dato' Wan Hassan Mohd Ramli, berkata perkembangan PASTI dapat dilihat menerusi penganjuran majlis anugerah di seluruh negeri yang semakin mendapat sambutan dan berlangsung dalam suasana penuh meriah.

Menurutnya, majlis anugerah PASTI hari ini turut memperlihatkan keyakinan anak-anak kecil menerima sijil dan penghargaan di atas pentas di hadapan ibu bapa, seolah-olah menghadiri majlis graduasi sebuah institusi pengajian tinggi.

“Anak-anak kecil kita naik ke pentas dengan penuh yakin, menerima sijil dan anugerah di hadapan ibu bapa. Ini menunjukkan pendidikan PASTI telah berkembang jauh dan mempunyai tempat yang istimewa dalam masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Dalam masa yang sama, Wan Hassan turut merakamkan tahniah dan syabas kepada semua murid yang menerima anugerah serta menyifatkan pencapaian tersebut bukan sekadar pengiktirafan terhadap prestasi pembelajaran.

Katanya, anugerah berkenaan turut menjadi bukti usaha, disiplin dan kesungguhan anak-anak sepanjang mengikuti pendidikan di PASTI.

Beliau turut memberi penghargaan kepada barisan guru dan tenaga pengajar yang disifatkan memainkan peranan besar dalam membentuk generasi masa hadapan.

“Tugas guru bukan sekadar mengajar membaca, menulis dan mengira, tetapi membentuk hati, akhlak dan pemikiran generasi masa hadapan.

“Kadang-kadang kejayaan seorang guru tidak dapat dilihat hari ini. Tetapi mungkin bertahun-tahun akan datang, anak yang pernah dididiknya menjadi seorang yang soleh, seorang profesional, seorang pemimpin atau seorang yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa yang memberikan kepercayaan kepada PASTI untuk mendidik anak-anak mereka.

Tambahnya, pendidikan anak-anak merupakan amanah bersama yang perlu dipikul oleh ibu bapa, guru dan masyarakat, bukannya tanggungjawab guru semata-mata.

“Semoga PASTI terus berkembang dan terus melahirkan generasi yang cintakan ilmu, al-Quran dan agama serta menjadi insan yang bermanfaat kepada ummah,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan