KUALA TERENGGANU, 23 April - Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) disaran mengenal pasti rumah-rumah benar-benar layak dan memerlukan bantuan segera, khususnya kediaman daif atau berisiko tinggi yang melibatkan keperluan naik taraf pendawaian elektrik bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya litar pintas serta kebakaran.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat berkata Kerajaan Negeri sentiasa mengambil serius aspek keselamatan kediaman rakyat, khususnya risiko kebakaran yang berpunca daripada sistem pendawaian elektrik lama, rosak atau tidak lagi selamat digunakan.
“Skop pendawaian elektrik sememangnya termasuk dalam senarai kerja pembaikan yang dibenarkan di bawah Projek Perumahan Terengganuku Sejahtera (PPTS), tertakluk kepada penilaian teknikal dan kelulusan semasa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian di Sesi Pergulungan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan KDYMM Pemangku Raja Terengganu pada Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman.
Justeru itu katanya, senarai permohonan yang telah dikenal pasti hendaklah dikemukakan kepada Pejabat Daerah untuk semakan, penilaian tapak dan proses kelulusan supaya tindakan pembaikan dapat disegerakan mengikut keutamaan serta peruntukan yang tersedia.
Tag :