• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

DUN Telemong Guna Konsep Berbeza Agih Dana Raya 2017




Dewan Undangan Negeri (DUN)Telemong menggunakan konsep berbeza dengan sentuhan tersendiri dan lebih mesra rakyat bagi pengagihan Dana Raya 2017 kali ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato' Rozi Mamat berkata, beliau cuba mencipta kelainan dengan turun sendiri ke semua 45  cawangan  untuk mengagihkan baucer kepada penerima-penerima yang layak.

Jelas Rozi, walaupun kaedah itu sedikit mengerah tenaga dan masa terutama bagi cawangan yang terletak jauh serta penerima yang ramai, namun impaknya sangat besar dapat diperolehi nanti.

"Kelebihannya sangat banyak dan apabila kita turun sendiri, kita akan dapat satu pendekatan yang lebih akrab dengan masyarakat kampung terutama penerima-penerima bantuan.

"Saya akan dapat mengetahui lebih jelas sekiranya ada permasalahan di kalangan penerima-penerima malah boleh diselesaikan dengan segera,"kata Rozi.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita selepas Majlis Berbuka Puasa Kepimpinan Masyarakat DUN Telemong di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat Telemong, Hulu Terengganu, hari ini.



Seramai 6,990 penerima dana raya melibatkan pelbagai kategori dengan peruntukan sebanyak RM2,574,400 menerima baucer di peringkat kampung masing-masing pada kali ini.

Beliau berkata, walaupun pihak bank tidak turut serta dalam agihan baucer kerana kekangan masa namun memberi pengecualian kepada penerima orang asli Kampung Sungai Berua untuk turun bersama-sama pihak DUN.



"Saya dapati masalah kesesakan di bank dapat dikurangkan dengan cara penambahbaikan yang dibuat ini dan tindak balas kebanyakan penerima, rata-rata lebih berpuas hati dengan cara tersebut.

"InsyaAllah, kita akan teruskan dan lakukan penambahbaikan setiap tahun dalam usaha memberikan yang terbaik kepada masyarakat Telemong dalam semua aspek terutama kepada penerima-penerima bantuan dana,"kata Rozi lagi.


Tag: