• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

DUN Terengganu Bubar Atau Tidak Tunggu Pengumuman

KUALA TERENGGAU , 11 Oktober - Masih menjadi teka teki adakah Terengganu akan melakukan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan Pilihan Raya diadakan bersekali dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, suatu kenyataan rasmi akan dikeluarkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagi memuktamadkan keputusan berkenaan.

"Saya tidak boleh ulas, Setiausaha Agung akan beri kenyataan, tunggu kenyataan," katanya ditemui pihak media selepas selesai mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Pejabat Agung PAS, di Kuala Lumpur, hari ini.

Walau bagaimanapun menurutnya keputusan telah ada cuma menunggu untuk diumumkan sahaja, selepas Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS, di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini PAS telah memutuskan tiga negeri iaitu Terengganu, Kedah dan Kelantan tidak akan membubarkan DUN sehingga tahun depan, jika PRU terpaksa diadakan pada tahun ini.

Dalam perkembangan sama, beliau yang juga merupakan Naib Presiden PAS berkata, pihaknya tidak akan berputus asa dalam usaha untuk menyatukan tiga parti Melayu antara PAS dengan UMNO serta BERSATU bagi mengelakkan berlakunya pertembungan.

"Kita masih mencuba, Kenyataan terakhir kita pun menuju kepada perpaduan ummah, kita tidak boleh berputus asa,"katanya.

Mesyuarat hari ini telah dipengerusikan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan telah berakhir pada jama 10.50 pagi tadi.