• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

DUN Terengganu Zahir Kebersamaan Rakyat Palestin

KUALA TERENGGANU, 27 November - Isu Palestin turut disentuh pada awal pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini sebagai solidariti terhadap nasib umat Islam yang diuji di negara tersebut dengan peperangan yang dahsyat di bumi Gaza.

Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, sehingga kini dilaporkan peperangan yang berlaku telah mengorbankan puluhan ribu nyawa dalam serangan tidak berperikemanusiaan angkara rejim zionis Israel.

"Daripada jumlah itu, lebih 5,000 mangsa terdiri daripada golongan kanak-kanak yang tidak bersalah, menurut sumber dari Kementerian Kesihatan Gaza, Palestin.

"Siri serangan kali ini dilihat sangat dahsyat. Setiap detik berlakunya peperangan, dari situ jugalah kita menyaksikan setiap nyawa umat Islam di Palestin akan terus terkorban,"ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, episod duka, luka dan darah umat Islam di Palestin itu berterusan sehingga hari ini perlu diberikan perhatian.

"Sesunguhnya apa yang berlaku ini adalah permasalahan yang amat sukar untuk diselesaikan ditambah pula dengan perancangan 'menidurkan ummah' sedang dan masih giat berjalan samada dalam keadaan kita sedar ataupun tidak.

"Saat kita leka, musuh-musuh begitu lahap cuba meratah sehingga menjadikan kita berada pada tahap lemah yang amat ketara dan dipandang hina kerana tidak mempunyai sebarang kekuatan," ujarnya.