• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Duta Qatar Kunjungi Abdul Hadi, MB Terengganu

KUALA TERENGGANU, 23 November – Duta Qatar ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Salah Mohammed Al-Sorour, membuat kunjungan hormat di Terengganu pada hari ini sempena lawatan kerja beliau ke negeri tersebut.

Beliau telah mengadakan pertemuan bersama Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS), Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Abdul Hadi berkata antara topik yang dibincangkan adalah mengenai situasi terkini rakyat Palestin dan tindakan yang wajar dilakukan oleh pemimpin dunia Islam.

“Saya juga merakamkan penghargaan kepada Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani yang menjadi pemain utama dalam menjayakan gencatan senjata di Gaza. 

“Semoga pertemuan hari ini memberi natijah yang baik kepada hubungan erat yang terjalin di antara Malaysia dan Qatar,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk sebarang peluang yang berpotensi antara Qatar dan Terengganu.

Katanya, ia bagi memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua Negara tersebut.

“Terima kasih kerana sudi datang ke negeri Terengganu yang aman damai ini, sehingga bertemu lagi di masa hadapan," ujarnya.

 

 

 


Tag: