• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Duyong Marina Dapat Pengiktirafan Empat Bintang

KUALA TERENGGANU, 30 Oktober - Resort milik kerajaan negeri, Duyong Marina & Resort (DMR) menerima pengiktirafan empat bintang daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Pengurus besarnya, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata, sebelum ini pengiktirafan tersebut tidak pernah dipohon dan diterima.

Katanya, DMR kini dalam proses dinaik taraf termasuk dalam sektor patuh syariah sepenuhnya dalam semua aspek.

"Ketika mula-mula diamanahkan saya melihat semua aspek termasuk pengurusannya dari segi pemakaian, pergaulan antara kakitangan dan disenaraikan semua aspek, bagi mewujudkan suasana islamik,kita ada pegawai syariah yang memantau keseluruhan operasi.

"Dari sudut pengurusan dahulu ada perempuan yang terlibat dalam 'manager of duty' sekrang ini kita telah tidak membenarkannya kerana pada kebiasaan tugasan yang dilakukan adalah bersendirian pada waktu malam dan kini hanya ditugaskan pada lelaki sahaja.

"Dari sudut pemakanan kita telah dapat sijil halal membabitkan tempat menyediakan makanan dan juga bahan-bahan yang digunakan,"ujarnya.

 Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir menyerahkan bayaran zakat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu berjumlah RM42,159.65, di Pejabat MAIDAM di sini, baru-baru ini.

Tambah Wan Mohd Faizul, dalam memastikan hotel berkenaan patuh syariah, pelan induk pembangunan DMR akan dilaksanakan.

"Kita berhasrat mewujudkan kolam tertutup sebagaimana di Raia Hotel & Convention Centre Terengganu, ini melibatkan kos yang besar jadi ini disenaraikan dalam pelan induk pembangunan dan tidak boleh dilakukan sekarang cuma yang mampu dibuat adalah menentukan masa berbeza antara lelaki dan perempuan," katanya.

Ujarnya, setiap urusan melibatkan penyewaan lot diperhalusi dan menggunakan penyewaan terma Islamik dan dibincangkan dengan peguam untuk mewujudkan perjanjian yang tida ada unsur riba.

Mengenai perolehan pendapatan pada tahun ini, beliau yakin akan berlaku peningkatan berbanding tahun lepas.

"Sehingga September kita berjaya perolehi RM8 juta, dan untuk mencapai sasaran pendapatan RM12 juta pula agak mustahil dalam tempoh yang berbaki ini. Pendapatan banyak diperolehi daripada majlis dan 'event' yang dibuat merangkumi 60 peratus, kini kita memiliki 147 kakitangan," katanya.

Dalam pada itu menurutnya, kerja-kerja pengubahsuaian DMR  telah bermula pada 1 Ogos baru-baru dan dijangka siap lebih awal daripada tarikh sebenar.