Duyong Marina Kongsi Rezeki, Rai Pelajar Asnaf

KUALA TERENGGANU, 10 Mac – Sempena keberkatan bulan Ramadan tahun ini, Duyong Marina & Resort (DMR) mengambil kesempatan untuk menceriakan pelajar-pelajar asnaf terpilih berbuka puasa di Fiesta Ria Ramadan.

Pengurus Besarnya, Wan Faizul Wan Abas berkata program dibawah tanggungjawab sosial korporat(CSR) itu bertujuan untuk berkongsi rezeki serta menyemai nilai kebersamaan dalam masyarakat, sejajar dengan semangat Ramadan yang menggalakkan keikhlasan dalam memberi dan membantu mereka yang memerlukan.

Menurutnya, sebagai permulaan DMR telah meraikan para pelajar dari Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Tok Jiring dengan pelbagai hidangan istimewa berbuka puasa dalam suasana yang penuh kehangatan.

“Alhamdulillah, DMR mengambil peluang mengadakan majlis ini di bulan Ramadan di mana ia mampu membawa kepada nilai-nilai murni dalam diri setiap insan seperti mengeratkan kasih dan silaturahim,

“Amalan berpuasa memiliki fadilatnya yang tersendiri dari sudut kemasyarakatan dan kerohanian.

 “Apabila kita berasa lapar dan dahaga, kita akan dapat merasai sendiri kesusahan golongan yang memerlukan, tidak salah untuk kita berkongsi sedikit kegembiraan buat mereka yang memerlukan,” ujarnya kepada pemberita ketika dihubungi.

Wan Faizul juga berkata, program tersebut bukan sekadar satu inisiatif kebajikan, tetapi juga sebagai satu platform untuk membina hubungan erat antara pihak DMR dan komuniti setempat.

Justeru itu katanya, DMR akan meneruskan usaha itu dengan menjemput lebih ramai pelajar asnaf untuk menikmati berbuka puasa bersama di resort. 

“Selepas ini, kita akan meraikan, pelajar asnaf dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri diikuti oleh Madrasah Darus Salam dan Madrasah Darul Ulum Chendering .

“Dengan adanya program ini, DMR berharap dapat memberikan sedikit kegembiraan kepada para jemputan serta menyemarakkan semangat keprihatinan dalam kalangan masyarakat. 

Tambahnya, DMR komited dalam melaksanakan inisiatif sosial yang memberi manfaat kepada komuniti dan berharap usaha ini akan menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk turut serta dalam menyumbang kepada mereka yang memerlukan.
 


Tag: