KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Syarikat berasaskan besi dan keluli terkemuka, Eastern Steel Sdn. Bhd. (ESSB) menambah pelaburan berjumlah RM3 bilion dengan menubuhkan Hot Rolled Coil (HRC) di negeri ini.
ESSB dalam satu kenyataan berkata, pembukaan HRC tempatan di Terengganu adalah yang pertama di Malaysia dan ia bakal membuka 1,000 peluang pekerjaan untuk anak tempatan.
"ESSB akan meningkatkan tiga kali ganda kapasiti pengeluaran daripada 700,000 tan metrik kepada 2.7 juta tan setiap tahun menjelang tahun 2023.
"Dengan HRC yang dihasilkan secara tempatan kelak, ESSB menyokong kerajaan negeri dalam menentukan hala tuju tempatan," ujar ESSB.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Kolej Universiti Tati (UC TATI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan TESDEC Sdn.Bhd di Kuala Lumpur semalam.
Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim, Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri, Pengerusi ESSB, Tan Sri Abdul Rahman Mamat, Naib Canselor UMT, Dato' Dr. Mazlan Abd Ghaffar, Rektor UC TATI, Dr. Anuar Ahmad dan Pengerusi TESDEC, Sulaiman Sulong.
Mengulas lanjut, ESSB berkata pekerjaan yang tersedia adalah daripada pelbagai kategori seperti bidang profesional, pengurusan serta kemahiran untuk pelajar lepasan tahun 2022.
Katanya, tumpuan khusus diberikan dalam bidang industri besi dan keluli.
"ESSB juga turut menaja program kemahiran semula dan peningkatan kemahiran untuk pekerja sedia ada.
"Hal ini adalah untuk membangunkan pekerja ESSB dalam persekitaran pembelajaran berterusan di samping meneruskan mereka untuk mendapat kelayakan," jelasnya.
Menurut ESSB, dalam mencari tenaga bagi mengisi kekosongan dan melatih sumber manusia baharu, pihaknya akan memanfaatkan produk UC TATI, UMT dan TESDEC.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata jalinan tiga institusi tempatan dengan ESSB membuka lembaran baharu buat graduan dan akan memberi limpahan manfaat kepada masyarakat.
"Kewujudan projek ini juga diharapkan dapat meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi rakyat Terengganu, mengurangkan penghijrahan luar bandar, menarik lebih ramai pelabur dan mencapai pemindahan teknologi asing ke Malaysia," tambah beliau.