• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

ECERDC Tarik Hampir RM3.0 Bilion Pelaburan Ke Terengganu

KUALA TERENGGANU, 5 Disember – Terengganu menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah menarik pelaburan komited sebanyak RM2.9 bilion bagi tahun 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, pelaburan tersebut bakal mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan dan 600 peluang keusahawanan direkodkan sehingga bulan lepas.

“Tumpuan diberikan kepada Taman Biopolimer Kerteh (KBP), salah sebuah taman perindustrian paling berjaya yang dibangunkan oleh ECERDC.

“ECERDC akan memperhebatkan kegiatan mempromosikan pelaburan ke Terengganu dengan kerjasama agensi-agensi Persekutuan dan Negeri untuk menarik pelaburan baharu serta memastikan pelaburan dapat direalisasikan terutamanya di KBP.

“Baru-baru ini, KBP telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM220 juta daripada Greenverse Sdn. Bhd. (GVSB) untuk membangunkan sebuah loji pengurusan sisa berjadual secara bersepadu,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, pelaburan tersebut dijangka mewujudkan sehingga 250 peluang pekerjaan baharu yang merangkumi jawatan profesional, pengurusan dan kemahiran teknikal.

“KBP, hab bioekonomi dan bahan kimia khusus ECER yang meliputi kawasan seluas 140 hektar, telah menarik pelaburan yang direalisasikan berjumlah RM5.2 bilion setakat ini.

“Kompleks PKS KBP juga menerima sambutan yang menggalakkan walaupun siap ketika pandemik.

“Sebanyak 98 peratus daripada lot yang ada telah diduduki majoritinya oleh syarikat-syarikat Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) yang memberi sokongan kepada PETRONAS dan syarikat-syarikat petrokimia lain di Wilayah ini,” katanya lagi.

Jelasnya, sasaran ECERDC adalah pertumbuhan industri petrokimia khusus, dan kini sedang membangunkan Fasa 4 yang terdiri daripada kawasan tambahan seluas 397 ekar bagi menampung pertumbuhan akan datang untuk para pelabur menjelang pertengahan tahun 2025.