Jalur Gemilang
Berita :
ECRL Jerteh Perlu Jadi Pemangkin Ekonomi Rakyat Hulu Besut
ECRL Jerteh Perlu Jadi Pemangkin Ekonomi Rakyat Hulu Besut
Norekwan Mamat
1 hari yang lepas
168

KUALA TERENGGANU, 17 November– Kerajaan Negeri diminta mempercepatkan persediaan kemudahan sokongan dan pelan kesiapsiagaan bagi memastikan operasi penumpang Stesen ECRL Jerteh yang dijadualkan bermula pada 12 Disember 2026 dapat memberi manfaat maksimum kepada penduduk Hulu Besut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, kedudukan Stesen ECRL Jerteh dalam kawasan Hulu Besut merupakan peluang besar yang perlu dimanfaatkan melalui perancangan rapi, khususnya dari aspek pengangkutan, keselamatan dan pembangunan ekonomi setempat.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan perkara berkaitan pembangunan ECRL dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Menurutnya, perancangan pembinaan Terminal Transit Jerteh yang dianggarkan bernilai RM16 juta perlu disusuli dengan langkah persediaan awal memandangkan proses perolehan dijadualkan pada 26 November 2026, Surat Setuju Terima (SST) pada 1 Mac 2027 dan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pelan kesiapsiagaan bersama diselaraskan sebelum operasi penumpang bermula, termasuk penyediaan pengangkutan pengantara, kemudahan menunggu sementara, kawasan turun naik penumpang, papan tanda, pencahayaan, keselamatan pejalan kaki serta pengurusan trafik.

Dalam masa sama, Mohd Husaimi menegaskan penduduk tempatan perlu diberikan maklumat dan persediaan awal bagi merebut peluang ekonomi yang bakal diwujudkan melalui pembangunan ECRL.

Antara yang diberi perhatian ialah peluang kepada peniaga makanan, pengusaha inap desa, penyedia perkhidmatan pengangkutan serta golongan belia untuk terlibat dalam sektor pekerjaan dan latihan berkaitan.

Mohd Husaimi turut meminta supaya jaringan pengangkutan dari Stesen ECRL Jerteh ke destinasi pelancongan seperti La Hot Spring dan Lata Tembakah serta pusat kegiatan ekonomi sekitar diperkukuh bagi menyokong Tahun Melawat Terengganu 2027.

“Kita mahu perjalanan pengunjung menghasilkan pembelian, tempahan dan pendapatan kepada pengusaha setempat. Ketibaan tren membawa penumpang, tetapi persediaan yang baik membolehkan ketibaan itu membawa rezeki kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut berharap jawapan penggulungan kerajaan dapat memberikan penjelasan khusus mengenai keutamaan pelaksanaan, agensi bertanggungjawab serta garis masa yang boleh dipantau bagi memastikan setiap perancangan memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat Hulu Besut.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan