• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

ECRL: Stesen Kereta Api Durian Guling Bakal Dibina

HULU TERENGGANU, 11 September - Stesen kereta api East Cost Rail Link (ECRL) di Durian Guling, Marang adalah cadangan terbaharu yang dipersetujui untuk dibina dan akan dinamakan sebagai stesen Kuala Terengganu setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh berkata stesen kereta api ECRL dicadang untuk dibina di Durian Guling kerana beberapa faktor.

"Perancangan kita meletakkan stesen kereta api di Durian Guling ini kerana kita mahu dalam beberapa tahun akan datang, berlakunya lonjatan pembangunan yang besar dan akan mempengaruhi daerah di sekitarnya.

"Durian Guling ini terletak di tengah-tengah antara Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu, kawasan yang adanya kereta api kebiasaannya akan mengalami pembangunan yang pesat," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam program Ceramah Perdana Sidang Parlimen & DUN di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang malam tadi.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, jarak antara daerah Hulu Terengganu ke Durian Guling dan jarak daerah Kuala Terengganu ke Durian guling adalah hampir sama.

"Jarak Durian Guling ke Kuala Terengganu ialah 14 kilometer (KM), Durian Guling ke Kuala Berang pula 16 hingga 17 KM, manakala ke Marang lebih kurang 15 KM, dan jaraknya hampir sama," ujarnya.

Turut hadir dalam program Ceramah Perdana malam tadi ialah Exco Kerajaan Negeri, Hanafiah Mat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim, dan Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid.