• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

e-KPTT Mudahkan Lepasan SPM Dapatkan Maklumat

DUNGUN, 25 September - Portal e-Kemasukan Pengajian Tinggi Terengganu (e-KPTT) berperanan sebagai laman sesawang "One Stop Centre" yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk lepasan SPM mendapatkan maklumat berkaitan kemasukan ke institusi pengajian tinggi dan pusat kemahiran negeri.

Inisiatif terkini menyelaraskan semua tawaran kursus pengajian dari semua institusi pengajian tinggi negeri Terengganu telah dilancarkan oleh Yayasan Terengganu (YT).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat mengucapkan tahniah kepada YT atas usaha mereka yang telah memacu kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi negeri dan pusat kemahiran negeri menerusi laman sesawang tersebut.

"e-KPTT memudahkan para lepasan pelajar SPM agar tidak perlu lagi melayari pelbagai laman sesawang institusi berbeza untuk mendapatkan maklumat tentang tawaran kursus. Semuanya boleh didapati di satu tempat sahaja," katanya.

Jelasnya, portal ini akan memaparkan senarai lengkap kursus yang ditawarkan oleh semua institusi pengajian tinggi negeri Terengganu, termasuk universiti dan kolej-kolej komuniti.

"Para lepasan SPM hanya perlu memasukkan maklumat seperti kelayakan akademik dan bidang pengajian yang diminati, dan portal ini akan menyediakan senarai tawaran kursus yang sesuai, jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika meramikan Majlis Pelancaran Portal e-Kemasukan Pengajian Tinggi Terengganu (e-KPTT) di KTCC Mall, semalam.

Selain itu katanya, calon pelajar juga akan mendapat maklumat berkaitan tempoh pengajian, yuran pengajian, dan syarat-syarat kemasukan untuk setiap kursus yang ditawarkan.

"Ini akan memudahkan calon pelajar untuk membuat pilihan yang bijak berkaitan dengan pengajian mereka", ujarnya lagi.

Sehubungan dengan itu, pihak pengurusan Portal e-KPTT daripada YT juga perlu memastikan laman sesawang ini adalah mudah digunakan dan mesra pengguna.

Ia juga menyediakan saluran komunikasi untuk pengguna yang memerlukan bantuan atau maklumat lanjut tentang proses kemasukan.

"Dengan pelancaran Portal e-KPTT ini, diharapkan akan meningkatkan kesedaran dan aksesibiliti kepada pelbagai tawaran pengajian tinggi yang terdapat di negeri Terengganu

"Diharap ibu bapa juga akan dapat membuat keputusan yang lebih tepat berkenaan pilihan pengajian mereka, dan ini akan menyumbang kepada peningkatan pendidikan dan pembangunan insan di negeri ini," katanya.


Tag: