lightning-solid
Berita :
Elak Guna Jalan Sementara Aring–Kenyir, Berisiko Ketika Musim Tengkujuh
Elak Guna Jalan Sementara Aring–Kenyir, Berisiko Ketika Musim Tengkujuh
Mastura Jamal Din
11 Nov 25
326

KUALA TERENGGANU, 11 November – Orang ramai dinasihatkan agar tidak menggunakan laluan sementara di jalan Felda Aring–Tasik Kenyir bagi mengelakkan risiko keselamatan, khususnya ketika musim tengkujuh yang sedang melanda.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat, berkata laluan berkenaan sebenarnya dibina oleh kontraktor hanya untuk kegunaan kerja harian dan bukan untuk laluan awam.

Menurut beliau, struktur jalan tersebut tidak direka untuk menampung jumlah kenderaan yang banyak serta berisiko tinggi apabila hujan lebat berlaku.

“Jalan itu dibina oleh syarikat bagi memudahkan urusan kerja mereka, tetapi ada juga orang awam yang menumpang lalu.

“Keadaan tanah di kawasan berkenaan licin dan tidak stabil, menjadikan laluan itu berbahaya terutama pada musim hujan. 

"Saya harap pengguna jalan raya elak melalui kawasan tersebut sehingga jalan baharu siap sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pada Persidangan DUN Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya dari kedua-dua arah yang menggunakan Laluan FT36 sama ada dari Hulu Terengganu atau Kota Bharu agar beralih ke laluan alternatif FT247 yang bersambung ke FT03 bagi memastikan perjalanan lebih selamat.

Untuk rekod, pada Disember tahun lalu, Jalan Aring 8–Kenyir–Kuala Jeneris ditutup sepenuhnya selepas berlaku kejadian tanah runtuh sepanjang kira-kira 100 meter akibat hujan lebat yang menyebabkan kerosakan serius pada struktur jalan tersebut.

Laluan FT36 merupakan jalan utama yang menghubungkan Tasik Kenyir ke Gua Musang, Cameron Highlands dan Ipoh, sekali gus menjadi nadi perhubungan penting bagi penduduk setempat serta pelancong yang menuju ke kawasan pelancongan popular itu.







Tag :

Artikel Berkaitan