• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Kerajaan negeri menyeru rakyat Terengganu mematuhi saranan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya terus mengamalkan pendekatan 3W dengan mengelakkan 3C sebagai kebiasaan baharu dalam kehidupan seharian bagi mengawal penularan COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, konsep 3W merangkumi kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn).

Katanya, peringatan itu termasuk elak bersalaman dan bersentuhan, amalkan etika batuk dan bersin, dapatkan rawatan segera jika bergejala, duduk di rumah serta elakkan amalan kunjung-mengunjung.

"Elakkan 3C, iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada satu sidang media di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lanjut, Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal mengingatkan, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok hingga 31 Ogos ini bukan tiket kebebasan rakyat.

"Kita mengalu-alukan keputusan kerajaan memberikan lebih banyak kelonggaran kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian untuk menggerakkan semula ekonomi rakyat.

"Bagaimanapun, ia bukanlah tiket untuk rakyat bergerak bebas tanpa peraturan. Paling penting adalah kawalan kendiri dan semua pihak bertanggungjawab mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," jelasnya.