• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

El-Nino, Aktiviti Pertanian Padi di Terengganu Tidak Terjejas

KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Aktiviti pertanian di Terengganu terutama padi tidak mengalami masalah bekalan air walaupun ketika ini mengalami musim kemarau.

Ahli Jawatankuasa  Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, ia  berikutan usaha kerajaan negeri  secara intensif menaik taraf sistem pengairan dan saliran padi. 

“Buat masa ini, tiada sebarang masalah dihadapi, malah kita tidak mempunyai sebarang laporan mengenai pesawah terjejas kerana musim kemarau sebab kita mempunyai sumber bekalan air yang mencukupi.

“Kerajaan negeri telah membelanjakan RM2.5 juta bagi projek pembangunan padi pada tahun 2021 dan RM700,000 tahun 2022 dalam usaha memastikan infrastruktur sawah padi terutamanya sistem pengairan dilengkapi sebaiknya  bagi memastikan bekalan air  mencukupi walaupun berdepan keadaan kemarau yang panjang,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Menurut Azman, jumlah keluasan kawasan penanaman padi di Negeri Terengganu ialah 12,542 hektar dimana 5,323 hektar adalah kawasan dalam jelapang, sementara 7,221 hektar bagi kawasan luar jelapang. 

Tambahnya lagi, kebanyakan sumber bekalan air bagi sawah padi berpunca dari takungan empangan yang berpunca dari aliran sungai  dan bukan aliran semulajadi yang mudah terkesan dengan perubahan iklim terutamanya kemarau.

MetMalaysia baru-baru ini menjangka fenomena El Nino akan melanda negara pada bulan ini hingga Julai dengan kebarangkalian 62 peratus.