• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Empat Manfaat SUT Usahawan Perlu Tahu

KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Terdapat empat manfaat utama yang perlu diketahui usahawan dalam negeri jika mendaftar dan menyertai Sahabat Usahawan Terengganu (SUT) di bawah kelolaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), supaya dapat menggembleng pelbagai kemudahan demi memajukan perniagaan.

Pengurus Pembangunan Usahawan YPU, Engku Mohd Hairulnizam Tuan Ahmad berkata, antara manfaatnya adalah bantuan pembiayaan seperti Tabung Pemulihan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) Terengganu COVID-19 yang menyokong 333 usahawan (sehingga 2020) terjejas akibat pandemik.

“Manfaat kedua ialah mereka akan direkod dalam data usahawan, tetapi ramai bertanya ‘tak jadi ahli tak bantu ke?’, jawapan kami jika tidak mendaftar tiada data lengkap sekali gus menyukarkan pihak kami dalam mengetahui permasalahan lebih lanjut.

“Bagi mengetahui angka tepat dan masalah yang dihadapi, maklumat asas jenis keusahawanan seperti penjaja jalanan, bisnes atas talian boleh diketahui.

“Manfaat ketiga adalah pembangunan usahawan, kami mengadakan kursus dan khidmat jurulatih bagi mengelakkan bisnes anda tidak berhasil, walaupun laku tapi tidak mahir pengurusan kewangan. Ini sama seperti sakit berjumpa doktor, jika perniagaan berpenyakit maka daftar SUT,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai faedah keempat, pihaknya menawarkan fokus pembangunan produk dan perniagaan melibatkan diskaun perkhidmatan analisa nutrisi, kod bar dan lain-lain lagi.

“Kita ada ilmu dan produk tetapi bila tiada rupa dan solekan orang ramai tidak akan beli. Melalui SUT kod bar produk kita buat secara percuma dan kandungan nutrisi makanan juga separuh harga (tidak melebihi RM100) berbanding makmal lain (RM300 sehingga RM400).

“Manakala berkaitan bisnes kita sediakan tunjuk ajar cara berkembang memasuki pasaran lain seperti pasar raya, platfom e-dagang dan sebagainya.

“Bukan menjual sahaja, kita juga menyediakan teknik-teknik mendapat ramai pengikut dan ‘suka’ media sosial, semuanya pakej lengkap jika mendaftar dengan kami,” tambahnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai pendaftaran SUT, boleh melayari laman Facebook di https://www.facebook.com/YPUTerengganu atau https://www.ypu.com.my/