• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Empower ECER Bantu Lonjak Potensi Perniagaan

SETIU, 22 September - Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Empower ECER merupakan antara agenda terpenting kerajaan bagi melonjakkan potensi perniagaan setiap usahawan.

Pengerusi TEKUN Nasional,Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, program bagi Pembangunan Usahawan Setiu yang dijalankan bersama Perkeso, KWSP, MARA dan Amanah Ikhtiar akan mewujudkan ekosistem keusahawanan positif.

"Ia juga dapat menggalakkan peserta di bawah program Empower ECER berniaga secara formal dan menguruskan perniagaan lebih efektif. Di samping itu, program ini dapat mendedahkan para peserta dengan situasi sebenar perniagaan mengikut kesesuaian setempat. 

"Program empower ECER merupakan sebuah program pembangunan modal insan serampang dua mata oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai penyedia perkhidmatan dalam memberi bimbingan dan latihan kepada semua peserta empower ECER golongan B40 dari pelbagai peringkat umur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi taklimat dan pendaftaran program terbabit di Dewan Teater, Kolej Universiti Bestari, Pak Kancil, Setiu di sini semalam.

Katanya, kesemua peserta empower ECER yang telah hadir untuk menyertai program tersebut telah mendapat pelbagai manfaat untuk membangunkan lagi perniagaan mereka.

"Program bersama agensi ini turut dijalankan di tujuh kawasan di bawah seliaan UiTM iaitu di Setiu, Marang, Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Tumpat dan Pasir Mas. Program-program seumpama ini dapat dimanfaatkan oleh golongan B40 untuk terus berusaha dan seterusnya meningkatkan taraf ekonomi mereka," tambah beliau.


Tag: