• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Enam PPS Dibuka di Setiu

SETIU, 24 Disember -Enam pusat pemindahan sementara (PPS)  telah dibuka di Daerah Setiu setakat jam 10.30 malam tadi, berikutan berlakunya banjir di beberapa kawasan dalam daerah ini.

Menurut kenyataan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah (JPBD) Setiu semua PPS di Setiu kini menempatkan 143 mangsa daripada 37 keluarga yang membabitkan enam kawasan terjejas.

"Dua PPS dibuka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap iaitu PPS Surau Mak Bakas, Seri Kenangan yang menempatkan lapan mangsa dari Kampung Mak Bakas membabitkan tiga keluarga, diikuti PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Tong yang menempatkan 21 penduduk Kampung Pengkalan Merbau daripada tujuh keluarga.

"Di DUN Permaisuri pula, empat PPS dibuka iaitu PPS Balairaya Kampung Seladang dengan 25 mangsa dari Kampung Seladang yang membabitkan empat keluarga dan PPS Balairaya Kampung Che Long membabitkan 8 orang dari dua keluarga," menurut kenyatan tersebut.

Manakala dua buah PPS lagi menempatkan penduduk Kampung Besut iaitu PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Besut membabitkan 40 orang dari 13 buah keluarga dan PPS Balairaya Kampung Besut menempatkan 49 orang dari 8 keluarga.

Sementara itu, menurut portal https://publicinfobanjir.water.gov.my tiga buah sungai di Setiu telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Sungai Nerus di Kampung Langkap dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok.

 


Tag: