• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

EPIC Cakna & Prihatin Bantu Keluarga Miskin Secara Bersiri

KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad memenuhi Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) dalam siri demi siri yang dilaksanakan melalui program EPIC Cakna & Prihatin 2020 untuk membantu keluarga miskin dan kurang berkemampuan di kawasan-kawasan tertumpu di Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Saabi Wahab berkata, program tersebut merupakan program tahunan dan siri kali ini mendapat kerjasama Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, Sabasun Hyperuncit dan Syarikat Air Terengganu (SATU).

Saabi Wahab.

"Program ini merupakan aktiviti tahunan EPIC Berhad. Untuk tahun ini kita merancang empat siri, jadi akan ada tiga siri lagi sehingga Disember ini berdasarkan keperluan dan maklumat yang disalurkan.

"Yang terdekat dalam jangka masa dua bulan lagi, insya-Allah kita target sama ada di kawasan Hulu Terengganu atau Besut. Hari ini kita agihkan sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM350 dan barangan keperluan kepada 20 keluarga miskin bandar di kawasan Kuala Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas program berkenaan di Dewan Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, Kuala Terengganu di sini hari ini.

Tambah Saabi, Kumpulan EPIC Berhad memperuntukkan bajet untuk program CSR sebanyak kira-kira RM30,000 hingga RM40,000 bagi setiap siri dan kawasan demi membantu keluarga miskin dan kurang berkemampuan.

Sementara itu, ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed berterima kasih kepada EPIC atas usaha tersebut yang diserikan lagi dengan kehadiran isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman.

"Alhamdulillah program pada hari ini sangat berjaya di mana 10 tempat telah dilawati sementara 10 lagi keluarga menerima bantuan di dewan ini. Bagi pihak DUN Bandar, kami sangat berterima kasih di atas penganjuran program ini yang sangat baik dan patut diteruskan.

"Walaupun kita berada dalam kawasan bandar, hakikatnya rakyat yang susah bilangannya masih besar. Bagaimanapun, program yang dibuat adalah menjurus kepada usaha menaik taraf kehidupan rakyat di sini di samping bantuan berterusan daripada kerajaan negeri.

"Kami amat bertuah EPIC dapat turun ke DUN Bandar hari ini bersama isteri Menteri Besar. Ianya sudah tentulah merupakan satu penghormatan buat kami," ujarnya.

Turut hadir, isterinya, Norizah Ngah, ADUN Wanita, Zuraida Md Noor, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said dan Pengurus Perancangan Strategik Sabasun Hyperuncit Sdn Bhd, Abdul Basir Embong.