• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

EPIC Ikrar Bebas Rasuah

Kakitangan termasuk pegawai Kumpulan EPIC bersama pengarah serta pegawai SPRM Terengganu pada Majlis Melafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah di Darul Iman Training Centre, Telok Kalong.
KEMAMAN, 10 Disember - Seramai 70 kakitangan termasuk pegawai dari Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi  2018, sebagai komitmen menentang gejala rasuah secara holistik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor berkata, ia merupakan tanda sokongan dan komitmen EPIC sebagai sebuah anak syarikat kerajaan negeri dalam membanteras jenayah salah guna kuasa serta mewujudkan perkhidmatan yang telus dan adil.

"Majlis ini juga seiring dengan teras utama Rancangan Perniagaan EPIC 2019-2023 iaitu menerima pakai amalan terbaik dalam pengurusan perniagaan tadbir urus dalam menuju ke arah kemampanan dan kreadibiliti syarikat di masa kini dan akan datang.

"Ikrar Bebas Rasuah ini juga merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan lagi nilai-nilai integriti serta melahirkan modal insan yang lebih bertanggungjawab dan amanah dalam setiap aspek tugasan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pengurusan Kumpulan Epic Bersama SPRM 2018 di Darul Iman Training Centre, Teluk Kalong, di sini, hari ini.

Noor Fadzil Mohamed Nor.
Turut hadir, Pengarah SPRM negeri, Nik Andy Suwardy Amry, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya, Mohd Zaki Hassan dan Timbalan Pengarah SPRM, Zainal Ayub.

Tambahnya lagi, ini merupakan tanda komitmen EPIC  untuk bersama-sama memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa yang merupakan perosak kepada sesebuah organisasi dan masyarakat.

"EPIC juga telah melaksanakan program transformasi sejak tahun 2014 sehingga kini dengan pelbagai program telah dijalankan dari segi kemajuan perniagaan mahupun aspek akidah, ibadah dan juga akhlak," ujarnya.


Untuk rekod, IBR adalah satu inisiatif yang diperkenalkan oleh SPRM yang memberi penekanan kepada ikrar serta janji yang dibuat dalam kapasiti individu, untuk menjunjung tanggungjawab serta akauntabiliti bagi menjauhi serta menghindari diri daripada sebarang perlakuan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang menjalankan tugas.

Sementara itu, Noor Fadzil berkata, EPIC dijangka mencapai prestasi memberangsangkan dengan unjuran keuntungan sebanyak RM295 juta pada tahun ini iaitu meningkat sebanyak RM25 juta berbanding RM270 juta pada tahun lalu.

Tambahnya, peningkatan perolehan yang menghasilkan lebihan keuntungan RM25 juta berbanding tahun lalu itu dijana menerusi pendekatan memberi tumpuan kepada segmen baharu dalam sektor minyak dan gas selain merancakkan aktiviti hiliran dan penyelengaraan.


Tag: