• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Exco Jumpa Peniaga Selesai Isu Parkir Rimba Square

KUALA TERENGGANU, 14 Disember – Kerajaan negeri mengambil langkah drastik bertemu peniaga di Rimba Square, Kuala Nerus bagi menyelesaikan isu parkir swasta yang hangat diperkatakan ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata pihaknya mendengar keluhan para peniaga tersebut untuk dibuat pertimbangan.

Katanya, mewakili kerajaan Terengganu beliau akan mengambil tindakan selanjutnya supaya menemui jalan penyelesaian.

“Pertemuan tersebut bertujuan bagi mencari penyelesaian terbaik mengenai aduan berhubung isu parkir berbayar yang didakwa memberi tekanan kepada para peniaga di kawasan berkenaan.

“Dalam pertemuan di Nasken Coffee, saya mendengar segala keluh resah para peniaga berhubung soal kemudahan infrastruktur,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Katanya, pertemuan itu diatur oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim. 

Terdahulu, tular di media sosial mengenai peniaga tidak bersetuju dengan pelaksanaan parkir berbayar kerana bukan sahaja membebankan malah menyebabkan pelanggan semakin berkurangan.

Isu mengenai parkir kenderaan di Dataran Rimba Square di sini timbul setelah tiga daripada pondok bayaran parkir kenderaan di situ dirosakkan individu tidak bertanggungjawab.

 

 

 

 

 

 

 


Tag: