• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Exco Redah Hutan, Tinjau Kerosakan Kawasan Tadahan Air

Dr Azman bersama pihak yang terlibat meredah hutan.
Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 12 Februari - Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim meredah hutan bagi meninjau kerosakan kawasan tadahan air di Bukit Felda Selasih di sini kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu berkata, beberapa kerosakan  telah dikenal pasti menjejaskan aktiviti pertanian dan ia memerlukan pembaikian segera.

“Sekarang, inilah sumber utama bagi sistem bekalan air untuk pengairan pertanian di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tok Dor.

“Pembaikian sistem pengairan ini adalah sebahagian daripada Pelan Tindakan Pemulihan TKPM sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu,” katanya ketika ditemui media selepas membuat tinjauan.

Kawasan tadahan air yang menjadi sumber peserta TKPM Tok Dor.
Meskipun meredah hutan dan mendaki bukit sejauh tujuh kilometer, Dr Azman berpuas hati dengan tinjauan itu yang bakal merungkai segala permasalahan peserta TKPM.

“Dulu kawasan tadahan air inilah yang membekalkan air untuk kegunaan penduduk Kampung Tok Dor sebelum mendapat bekalan air bersih,” tambah beliau.

Tinjauan tersebut turut melibatkan Pegawai Jabatan Pertanian Negeri, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tok Dor dan Felda Selasih serta peserta TKPM Tok Dor.


Tag: