• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Facebook, Whatsapp Antara Punca Penceraian

Ridzuan berucap merasmikan kursus.

Oleh : Mohd Haniff Abas

KUALA TERENGGANU, 29 Julai – Curang di media sosial termasuk salah guna aplikasi Facebook dan WhatsApp adalah antara faktor penyumbang kepada kadar perceraian dan kerosakan rumahtangga.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, aplikasi Facebook umpamanya, mempertemukan kembali rakan-rakan lama semasa persekolahan termasuk bekas kekasih.

“Pada peringkat awal pertemuan, hanya bertanya khabar sahaja, tetapi lama kelamaan menyegarkan semula kenangan lama.

“Akhirnya wujud keretakan dalam rumahtangga akibat kehadiran orang ketiga, dan sebahagiannya berakhir dengan perceraian,” ulas beliau.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penutup Kursus PraPerkahwinan Islam Modul Bersepadu (MBPKI) 2019 di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT), Kubang Jela, kelmarin.


Mengulas lanjut, Ridzuan menyatakan menurut data yang dikemukakan oleh Mahkamah Syariah Negeri Terengganu pada tiga bulan pertama tahun 2019 mencatat 1,311 kes permohonan cerai berbanding 1,100 untuk tempoh yang sama tahun lepas, 2018.

“Sepanjang tahun 2018, sebanyak 13,000 perkahwinan direkodkan dan daripada jumlah itu, satu daripada tiga berakhir dengan perceraian ataupun sebanyak 12 kes perceraian sehari.

“Kerana itu, kita hendaklah membina keluarga atas dasar agama, dengan kefahaman yang jelas berkaitan segala hukum hakam dalam hal ehwal kekeluargaan, bukannya dengan sebab nafsu semata-mata.

“Jika memilih kecantikan, maka ianya suatu yang tidak kekal. Begitu juga harta, ianya tidak akan berkesudahan,” kata beliau lagi.


Tag: