Fasa Baharu Pulau Poh
KUALA TERENGGANU, 18 April - Pulau Poh di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir kini berwajah baharu hasil pelbagai inisiatif proaktif yang dilaksanakan oleh Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (TI), selaras dengan penyerahan hak pengurusan dan pengoperasian aset pulau tersebut oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Terengganu pada Jun 2023.
Pelbagai usaha penambahbaikan telah dijalankan untuk memastikan Pulau Poh beroperasi secara aktif dan mampu menarik kehadiran pelancong secara berterusan ke kawasan berkenaan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, YB Datuk Razali Idris, antara inisiatif utama ialah penempatan semula jeti penumpang bot laju ke Dome utama Pulau Poh bagi meningkatkan akses dan keselesaan pengunjung.
"Inisiatif seterusnya ialah kerja-kerja penyelenggaraan juga sedang dipergiatkan termasuk penempatan lapan orang kakitangan bagi tugas kebersihan, landskap dan penyelenggaraan elektrikal serta empat pengawal keselamatan.
"Bagi merancakkan aktiviti ekonomi setempat, Terengganu Inc. turut melantik vendor bagi enam unit food court dan enam unit kiosk, di mana sebahagian besar daripada mereka telah mula menjalankan operasi.
"Selain itu, pelbagai aktiviti sukan air turut diperkenalkan seperti Jet Ski Ride, Banana Boat, Water Bicycle dan Swan Boat. Aktiviti darat yang tidak kurang menarik seperti E-ATV, E-Scooter dan E-Bike juga ditawarkan," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu juga menjelaskan kemudahan lain bagi camper van yang disediakan bersama surau, tandas dan bekalan elektrik.
Dalam perkembangan berkaitan jelas beliau, penyerahan projek pembangunan hotel daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) kepada Terengganu Inc. telah dimuktamadkan pada 24 Disember 2024.
"Ketika ini, TI berada dalam fasa akhir rundingan dengan pihak operator hotel, iaitu Tamu Hotel.
"Hotel tersebut dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun 2026, sekali gus berpotensi menjadi pemangkin utama kepada peningkatan jumlah pelawat ke Tasik Kenyir, khususnya ke Pulau Poh.

“Insya-Allah, limpahan ekonomi yang terhasil daripada pembangunan ini akan memberikan manfaat besar kepada masyarakat setempat,” ujarnya.
Razali berharap usaha bersepadu itu dapat menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa sektor pelancongan sambil memastikan manfaat ekonomi dinikmati secara inklusif oleh komuniti tempatan.