• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Felda Chalok Barat Intai Peluang Wakil Wilayah Terengganu ke AKKF


Oleh : Ariss Alias

SETIU, 2 Ogos - Felda Chalok Barat mengintai peluang mewakili Wilayah Terengganu ke peringkat kebangsaan sempena Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) pada tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Chalok Barat, Mahadi Mohamad, 48, berkata dia sentiasa  memberi pesanan kepada semua peneroka dan penerokawati serta belia supaya menjaga kebersihan tanah rancangan ini agar setanding dengan tanah rancangan Felda lain yang cemerlang di AKKF peringkat kebangsaan di mana pemenang membawa pulang hadiah bernilai RM1 juta.

“InsyaAllah kita mungkin boleh mewakili wilayah Terengganu ke peringkat kebangsaan, tetapi harusla betul-betul serius dan bersemangat.

"Tanah rancangan terbaik yang berjaya menguruskan kebersihan, keceriaan dan keindahan kawasan kampung Felda di samping aspek pembangunan kualiti komuniti serta ladang akan menjadi juara AKKF,"katanya ketika ditemui oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), disini hari ini.

Katanya, mengambil semangat AKKF, pengurusan Felda Chalok Barat bakal mengadakan pertandingan keceriaan di peringkat rancangan yang akan diadili pada 28 Ogos 2019 dan pemenang akan diumumkan pada 31 Ogos 2019 sempena sambutan hari kemerdekaan.

Sementara itu, Pengurus Felda Chalok Barat, Badrulnizam Mohd Tejery, 48, berkata pertandingan di peringkat rancangan nanti akan melibatkan kesemua 15 blok termasuk satu blok tambahan iaitu blok persatuan kedai yang kita iktirafkan sebagai salah satu blok yang sedia ada.

“Program pada hari ini kita menyerahkan sumbangan bernilai RM200 kepada ketua setiap blok.

"Sumbangan ini adalah bagi meringankan perbelanjaan peneroka  menghadapi AKKF peringkat tanah rancangan. Ini adalah untuk mereka membeli keperluan barangan seperti cat dan barang-barang lain untuk menghias blok kawasan masing-masing,"katanya lagi.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Azmi Maarof yang dihubungi UPDI pula berkata, Felda Chalok Barat merupakan antara dua Felda yang hanya ada di DUN Langkap dan daerah Setiu selain daripada Felda Chalok.

“Saya sendiri merupakan anak peneroka di mana saya berasal daripada Felda Chalok dan saya merasa gembira dengan semangat yang ditunjukkan oleh pengurusan Felda Chalok Barat.

“Saya yakin sekiranya kerjasama erat ditonjolkan oleh pentadbiran tanah rancangan Felda Chalok Barat, JKKR dan dua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang ada di sana, pastinya tidak mustahil untuk mereka mencapai kejayaan,"ujarnya.

Tag: