• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Fokus Selamatkan Rakyat'- MB Terengganu

KEMAMAN, 13 September - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menggesa ahli politik berhenti daripada terus menyusahkan rakyat demi agenda dan kepentingan peribadi.

Beliau sebaliknya mahu ahli politik fokus menyelamatkan rakyat agar mereka berupaya untuk keluar daripada kemelut masalah yang dihadapi selama ini.

Katanya, PAS dalam Muktamar Tahunan Kali Ke-68 baru-baru ini telah mengangkat tema 'Malaysia Sejahtera' membawa mesej yang jelas untuk menyelamatkan negara.

"(Juga) menjadi salah satu tanda bahawa PAS bersama dengan rakan muafakat yang lain bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 pada bila-bila masa kita tidak kata mampu untuk mencapainya seorang diri tetapi bersama dengan muafakat politik.

"Saya rasa sudah-sudahlah kita berpolitik yang menyusahkan rakyat yang menyebabkan mereka menjadi mangsa, kesejahteraan yang ingin dibina itu bukan pada parti tetapi kepada seluruh rakyat," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika hadir menyempurnakan Perasmian Pecah Tanah Pembangunan Rumah Mampu Milik dan Bercampur Kawasan Teluk Kalong, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.

Dalam pada itu, mengenai dakwaan terdapat ugutan sehingga Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob sukar untuk menentukan tarikh PRU, menurut Ahmad Samsuri itu hanya kenyataan mereka yang berada di luar jemaah menteri.

"Kita faham bahawa dalam kerajaan Persekutuan yang ada sekarang ini adalah keputusannya (melalui) jemaah menteri yang dibawa oleh Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong.

"Yang penting jemaah menteri mesti buat keputusan yang dibawa oleh Perdana Menteri untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong," ujarnya.