• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Gabungan Dua Exco Bersama 300 Sukarelawan Di Teluk Kalong

KEMAMAN, 21 Disember –Lebih 300 anggota sukarelawan daripada Khidmat Malaysia Terengganu bersama dua Exco Kerajaan Negeri turun padang mencurah bakti membersihkan rumah hampir 500 buah yang terjejas akibat banjir di perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong, pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat dalam gotong-royong kali ini adalah sukarelawan daripada Jabatan Amal, Terengganu Volunteer (T-VOLT), Alternative Riding Club Terengganu (ARC) dan lain-lain lagi.

“Program dapur rakyat turut menyediakan makanan untuk tuan-tuan rumah dan ahli keluarga yang terkesan di sini pada jam 11 pagi.

“Pasukan kami mengeluarkan harta benda dan peralatan rumah yang rosak dan membersihkan kawasan dalam rumah, mana barangan yang boleh diguna pakai kami selamatkan dan selebihnya dilupuskan menggunakan lori.

“Sekiranya ada lagi tempat lain di sekitar kemaman yang memerlukan tenaga kerja, kami akan santuni mereka juga,” katanya ketika ditemubual pemberita.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri(DUN) Kijal, Hazri Jusoh.

Sementara itu, Hanafiah yang juga Pengarah Khidmat Malaysia Negeri Terengganu, berkata, pihak kerajaan dan sukarelawan terlibat bukan sahaja datang untuk membantu  membersihkan rumah , tetapi menyalurkan makanan kepada penduduk setempat melalui dapur rakyat.

“Kita berkampung di Teluk Kalong bagi menjalankan sedikit usaha kebajikan sebagai nikmat kepada rakyat disini, walaupun mereka bersedihan, Insya-Allah, kita akan menolong semampu yang mungkin,” ujarnya.

Salah seorang mangsa, Nurfaraliza Che Hussein, 35, dia turut melahirkan rasa terharu dan bersyukur atas usaha semua sukarelawan terlibat dalam membersihkan rumahnya yang paling teruk terjejas di kawasan itu.

“Hampir semua barang rosak termasuk peti sejuk, mesin basuh dan lain-lain lagi akibat paras air meningkat hingga paras pinggang.

“Terima kasih juga kepada Yang Berhormat Exco kerana mengadakan gotong-royong dan pek hidangan harini, bantuan RM500 juga akan dimanfaatkan bagi membeli barangan keperluan,” katanya.