• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Gabungkan Koperasi Disertai OKU Secara Konsortium



Koperasi di Malaysia khususnya koperasi kecil dan mikro yang dijalankan oleh Orang Kelainan Upaya (OKU) disarankan agar menjalankan organisasi secara konsortium.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Dato’ Abdul Fattah Abdullah berkata, di Malaysia hanya terdapat 17 buah koperasi yang ahlinya terdiri daripada OKU fizikal, buta, pekak dan bisu.
Fattah berkata, dengan gabungan beberapa koperasi ianya mampu meningkatkan kadar keuntungan yang bakal diperoleh oleh satu-satu oganisasi tersebut.
“Untuk OKU, kita hanya mempunyai 17 buah koperasi sahaja di seluruh Malaysia dengan bilangan ahli seramai lebih 1,000 sahaja kerana minimum bagi satu-satu koperasi dalam 50 orang dan paling ramai hanya mencecah 200 orang.
“Kesemua daripada koperasi itu merupakan koperasi kecil dengan bilangan ahli yang kecil. Jadi kita harap dengan adanya gabungan ini kita akan boleh pertama sekali modalnya akan menjadi besar sekaligus dapat melibatkan diri dalam perniagaan lebih besar,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Dialog Bersama Presiden Angkasa di Pusat Pertis Wilayah Terengganu, Seberang Takir, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri Terengganu, Mohamed Jais Hassan dan Pengerusi Pertis Wilayah Terengganu Darul Iman, Mohd Fauzi Mansor.
Tambahnya, tiga daripada koperasi OKU iaitu Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia Wilayah Terengganu (Pertis), Persatuan Orang Pekak Terengganu (Peka) dan Persatuan Pembangunan Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (Pokuat) akan dijadikan sebagai perintis koperasi konsortium OKU pertama di Terengganu.
“Di Terengganu kita gabungkan dahulu tiga sahaja koperasi sebagai perintis selepas itu kita harap 17 yang lain nanti akan mengikut jejak langkah persatuan ini.
“Kita sasarkan penubuhan konsortium ini dapat disempurnakan dalam tahun ini cuma prosesnya akan mengambil masa selama tiga bulan sehingga diberikan kebenaran oleh pihak koperasi dan dapat diteruskan dengan melakukan mesyuarat agung,” katanya.

Tag: