• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Gajah, Kerapu Gergasi Tarikan Unik Karnival Tahun Pertanian 2021

KUALA TERENGGANU, 27 Januari – Pameran Gajah Denak, ikan kerapu gergasi dan pelbagai lagi acara menarik bakal memeriahkan Karnival Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021 (KTPNT2021) yang bermula sejak hari ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, program penutup Tahun Pertanian 2021 tersebut akan diadakan di Dataran Pekan Jabi, Besut pada 29 Januari.

“Program ini akan menutup tirai Tahun Pertanian 2021, kita anggap ia sebagai acara kemuncak dengan kita menganjurkan sebuah karnival besar-besar dalam calendar tersebut.

“Setakat ini kita berjaya laksanakan 92 program, tinggal lagi dua iaitu pemecahan tanah perumahan penempatan nelayan di Setiu dan karnival ini, menyempurnakan semua 94 program menjadikan 99.9 peratus pelaksanaan kesemua inisiatif.

“Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung seperti pameran penyu, pertunjukan gasing terbang, bicara ilmu, demonstrasi pertanian dan industry makanan, jualan Happy Hour dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menjelas lanjut, susunan projek dan program-program sepanjang Tahun Pertanian Terengganu 2021 ialah mengikut keperluan dan kesesuaian setempat.

“Dataran Pekan Jabi memang kami khususkan untuk Himpunan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan, Himpunan Lembu Sado, Karnival Pertanian dan lain-lain yang sewaktu dengannya,” katanya lagi.