• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

'GanuShop' : 800 'Runner' Disediakan Di Seluruh Terengganu

Nurkhuzaini Ab Rahman.

KUALA TERENGGANU, 13 April - Seramai 800 penghantar makanan atau runner 'GanuShop' beroperasi pada Ramadan tahun ini dan kerajaan negeri akan menanggung elaun 'standby' mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, caj penghantaran makanan pula diletakkan pada kadar yang minima berbanding harga pasaran.

Jelasnya, dua inisiatif itu bagi mengelakkan harga makanan meningkat di samping menggalakkan orang ramai untuk memiliki juadah berbuka puasa  dan sahur secara atas talian.

"Kerajaan negeri bersetuju untuk membayar kos elaun tersebut kepada 25 penghantar makanan di setiap DUN.

"Ia sekali gus mewujudkan 800 peluang pekerjaan (runner) di sepanjang bulan Ramadan lebih-lebih lagi dalam suasana tidak menentu ini," katanya semasa Wawancara Khas di Studio TV Darul Iman hari ini.

Menurut beliau, orang ramai yang berminat untuk menjadi penghantar makanan boleh membuat permohonan di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN masing-masing.

"Segala permohonan mesti dibuat di PKM sebaik sahaja aplikasi ini dilancarkan," jelasnya.

Dalam pada itu, Nurkhuzaini berkata, tahap kebersihan setiap makanan yang dijual juga akan dipastikan berada pada tahap terbaik.

"Walaupun makanan dimasak di rumah dan terlindung daripada orang ramai, kita tetap akan pastikan makanan tersebut bersih.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah bersetuju untuk melakukan tinjauan dari rumah ke rumah (penjual) secara rawak di sepanjang bulan Ramadan," tambah beliau.


Tag: