• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Gelombang Anak Muda Isyarat Dokongan Kepimpinan Islam

BANGI, 8 Januari – Gelombang yang diterjemahkan golongan anak muda hari ini jelas menyatakan isyarat bahawa kepimpinan Islam menjadi pilihan utama bagi mentadbir negara.

Mahasiswa perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Uthman Che Aziz berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tempoh hari memberi gambaran bahawa golongan nasionalisme kini semakin ditolak.

“Gelombang anak muda khusnya bagi Melayu dan Islam mempamerkan bahawa kita lebih yakin dengan agenda Islam sebagai solusi.

“60 tahun lalu kita telah beri peluang kepada golongan nasionalisme tapi kini kita lebih cenderung memberi peluang kepada kepimpinan Islam bagi menguruskan negara,” katanya.

Dia berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam Majlis Apresiasi Media Anak Muda 2022 di Bangi Golf Resort, Bangi di sini semalam.

Uthman yang berasal dari Besut turut mengingatkan kepada masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan naratif kotor yang dilontarkan terhadap kerajaan negeri Terengganu.

“Kita perlu menolak berita palsu, fitnah dan rekaan cerita lagi-lagi kita sudah tiada lagi Akta Antiberita Tidak Benar.

“Selaku mahasiswa yang terdedah dengan masyarakat, kita perlu manfaatkan ilmu pengajian intelektual dengan membuat penerangan yang betul agar tidak ditipu.

“Bertenang, pergi ke laman rasmi kerajaan Terengganu seperti laman sesawang Menteri Besar, UPDI dan selidik apa yang benar supaya tidak terkeliru,” tambahnya.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi meraikan pengamal media alaf baru dan pempengaruh seluruh negara yang menyumbang kandungan positif di media sosial.

Turut hadir Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengarah UPDI, Mohd Soud Said.

 


Tag: