• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Gerai Kuih Pok Him 'Sayang’ Popular Di Pasar Payang


Sudahlah banyak pilihan, harga yang ditawarkan pula berpatutan. Jadi tidak hairanlah Gerai Kuih Pok Him di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu sentiasa menjadi tumpuan dan penuh dengan pelanggan yang meminati makanan manis mahupun `pencuci mulut’.
Walaupun harga kuih-muih dikebanyakan kedai dan gerai di kebanyakan tempat meningkat ekoran kenaikan kos bahan mentah, namun pemilik gerai yang mesra menyapa pelanggannya dengan panggilan ‘sayang’ , Ibrahim Jusoh, 62, tetap menawarkan harga yang lebih rendah.
Pok Him anak jati Kampung Tanjung berkata, dia mendapatkan bekalan kuih-muih dari peniaga sekitar Kuala Terengganu dan Marang dengan mengambil keuntungan sebanyak 30 peratus pada setiap kuih yang dijualnya.
Gerai Kuih Pok Him menjual lebih 50 jenis kuih-muih tempatan setiap hari kecuali pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha bermula seawal pukul 7 pagi hingga 5.30 petang.
Antaranya tepung gomak, keria, seri muka, bingka ubi, donat, tepung talam, cucur badak, buah melaka, kuih ketayap, kuih cara, tepung pasung, kuih belimbing, akok, kuih kasturi dan pelbagai lagi.
“Mungkin ada gerai yang menaikkan harga kuih tetapi Pok Him tetap kekal jual harga lama seperti tahun-tahun sebelum ini dan masih bertahan dengan kuih tradisional kerana terdapat peminatnya yang tersendiri.
“Walaupun turut jual kuih moden lain, permintaan terhadap kuih-muih tradisional tetap tinggi,” ujarnya yang menjual kuih-muih kebanyakannya sekitar RM1 untuk empat biji.

Tag: