• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Gerai Terbakar Di Hari Pertama Berniaga


Oleh: Ariss Alias

SETIU, 24 Julai - "Saya sedih dengan kejadian yang berlaku kerana ini hari pertama saya memulakan jualan setelah berehat panjang setelah melahirkan anak," kata Siti Ayu Azmira, 30, setelah melihat sendiri gerai goreng pisangnya terbakar, di Kampung Pelong, semalam.

Menurutnya, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang itu, dia sedang menggoreng pisang sebelum melihat api tiba-tiba menyala dari hos gas.

“Saya terkejut, namun sempat mengeluarkan hos bagi mengelakkan tong gas meletup sebelum berlari keluar dan memanggil orang kampung yang berdekatan untuk membantu.

“Alhamdulillah, dengan tindakan pantas mereka api dapat dipadamkan dengan menggunakan tujuh tong pemadam api kebakaran," ceritanya.

Pemilik gerai itu turut memaklumkan, beberapa dokumen penting di dalam beg tangannya termasuk wang berjumlah RM600 hasil pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) tidak dapat diselamatkan.

"Gerai ini merupakan tempat saya mencari rezeki bersama kakak, Fatimah Muhamed, 41 yang menjual 'roti john'. Syukurlah, kerana ia tidak merebak ke gerai bersebelahan," katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Azmi Maarof telah menyampaikan bantuan segera kepada mangsa kebakaran gerai pisang goreng, Siti Ayu Azmira,30, dalam kunjungan ke rumahnya di Kampung Pelong, petang semalam.

Menurutnya, bantuan berkenaan disumbangkan Pusat Khidmat DUN bagi mengurangkan beban yang ditanggung Ayu sekeluarga berikutan kehilangan mata pencarian.

“Hari ini, kita cuba memberi sedikit sumbangan bagi membantu mangsa dalam tempoh sementara. Bagaimanapun, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pelong akan berusaha membantu baik pulih semula gerainya.

"Perkara ini juga sudah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Setiu dan pegawai mereka akan datang menyiasat,” katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).





Tag: