• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Giliran Rakyat Telemong Terima Hak Milik Tanah

HULU TERENGGANU, 15 November – Seramai 96 warga Telemong menerima hak milik tanah manakala 70 lagi menerima borang 5A bagi melayakkan mereka mendapat tanah kerajaan secara kekal, semalam.

Kamaruddin Yusof, 61, melahirkan rasa syukur kerana terpilih untuk menerima tanah daripada pihak kerajaan.

“Permohonan tersebut dibuat sekitar dua tahun lepas dan akhirnya kerajaan negeri tunaikan pemberian geran tersebut.

“Tanah itu akan dijadikan tanaman sawit dan akan diusahakan sebaik mungkin oleh kami sekeluarga,” jelasnya.

Dia berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Geran Hak Milik melibatkan RTB Bukit Bertam, Sungai Galong & Paya Bogam Serta Penyerahan Borang 5A di RTB Lubuk Periuk, Padang Ragut Lerek dan Paya Tok Raman.

Program tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Maliaman Kassim bertempat di Perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Telemong, Kuala Berang di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Zawawi Ismail.

Sementara itu, Wan Nurain Hidayah Wan Mohd Ghazali, 19 berkata beliau telah menerima Hak milik Geran Tanah yang terletak di Sungai Galong.

Dia yang mewakili abangnya berkata tanah itu akan diusahakan oleh mereka bagi tujuan pertanian.

“Hal ini supaya melalui hasil pertanian tersebut dapat memperoleh pendapatan keluarga.

“Terima kasih Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan semua yang terlibat dalam pemberian geran tanah ini,” ujarnya.

 

 

 


Tag: