KUALA TERENGGANU, 18 November – Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu perlu memainkan peranan lebih besar sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negeri dengan membuka peluang pekerjaan berkualiti dan memperkukuh penyertaan usahawan tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed berkata, peranan GLC tidak seharusnya terhad kepada penjanaan keuntungan semata-mata, sebaliknya perlu memberi kesan limpahan yang lebih menyeluruh kepada rakyat.
Katanya, GLC juga perlu meneroka peluang pelaburan baharu dan mengukuhkan ekosistem perniagaan tempatan supaya manfaat pembangunan ekonomi dapat dirasai secara lebih meluas.
“Pelaburan yang masuk ke Terengganu perlu membuka peluang pekerjaan, memperkukuh penyertaan usahawan tempatan dan meningkatkan pendapatan masyarakat.
“Kita mahu pertumbuhan ekonomi negeri diterjemahkan kepada kehidupan rakyat yang lebih baik, bukannya sekadar menjadi pencapaian dalam laporan statistik," jelasnya.
Beliau yang juga Ketua Backbenchers Club (BBC) Dewan Undangan Negeri Terengganu berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2027 di Persidangan DUN Terengganu, semalam.
Tambahnya, pendekatan berorientasikan keberhasilan perlu diperkukuh dengan setiap jabatan, agensi dan GLC bukan sahaja menumpukan pematuhan prosedur serta perbelanjaan peruntukan, tetapi turut menilai hasil sebenar yang dicapai.
Kata Ahmad Shah, keberkesanan sesuatu program dan pelaburan sewajarnya dinilai berdasarkan manfaat yang diterima rakyat.