GLC Terengganu Rangkul Anugerah 'Company Of The Year'

KUALA TERENGGANU, 29 November - Anak syarikat kerajaan (GLC) Terengganu, TDM Berhad berjaya merangkul anugerah 'Company of The Year' buat kali pertama di Majlis Kemampanan & CSR Malaysia 2021 yang diadakan di Shangri La Hotel, Kuala Lumpur hari ini.

TDM memenangi anugerah itu di bawah kategori perladangan dan penjagaan kesihatan untuk inisiatif bantuan COVID-19 serta kebajikan haiwan.

Ketua Komunikasi Korporat TDM, Norfar’izan Hashim berkata, pengiktirafan itu memperakui sumbangan dan komitmen syarikat dalam menerajui pembangunan mampan serta menghormati hak individu, komuniti dan alam sekitar. 

"Ia juga jelas mencerminkan misi TDM untuk menjadi contoh kepada institusi korporat di Terengganu.

"TDM sebelum ini telah mengetengahkan inisiatif 'Living Together with Elephants' dan sumbangan RM1.0 juta kepada Tabung Bantuan COVID-19 Terengganu, sekali gus membolehkan syarikat mendapat penganugerahan tersebut," jelas beliau.

Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP), Mohd Ghozali Yahaya berkata, program 'Living Together with Elephants' adalah satu langkah bagi menangani isu pencerobohan gajah liar di ladang kelapa sawit syarikat di Kemaman dan Setiu.

Katanya, melalui inisiatif itu TDM telah merintis rangkaian pengurusan gajah liar pertama di Terengganu dengan mengumpulkan pemain industri kelapa sawit tempatan bagi mengatasi isu pencerobohan dan hidup harmoni bersama binatang tersebut. 

"Rangkaian ini menyediakan platform untuk menjana strategi pengurusan yang berkesan dan boleh dilaksanakan pada skala berbeza untuk mencegah serta mengurangkan konflik manusia-gajah secara tidak langsung menjadikan operasi kelapa sawit lestari untuk manusia dan hidupan liar.

“Selain memasang kolar satelit pada ketua kawanan gajah di Ladang Pelung untuk menjejaki pergerakan dan melakukan pencegahan, kami juga bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (DWNP)
Terengganu untuk menubuhkan bank makanan gajah dan mengenal pasti spesies tumbuhan yang akan ditanam di unit operasi," ujarnya.

Di samping itu kata Mohd Ghozali, TDM bersama bahagian penjagaan kesihatan syarikat, Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) berada di barisan hadapan dalam menangani COVID-19 sejak awal tempoh pandemik. 

"Menerusi inisiatif sosial korporat seperti 'Huluran Kasih' dan 'Bakul Prihatin TDM', Kumpulan TDM menunjukkan solidariti dalam menyokong pekerja, komuniti dan mereka yang memerlukan ketika masa-masa mencabar.

"Pada tahun lalu, TDM telah memberikan sumbangan sebanyak RM1 juta dengan pembelian bekalan perubatan serta bantuan dan sokongan kemanusiaan untuk memerangi virus tersebut," tambah beliau.

Ujarnya lagi, pada Jun tahun ini, TDM telah menyumbang RM100,000 kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan berkolaborasi bagi menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menerusi program jangkauan (outreach) vaksinasi yang meliputi kawasan luar bandar di seluruh negeri Terengganu. 

"Bukan itu sahaja, empat hospital komuniti iaitu KMI Kuala Terengganu Medical Centre, KMI Kuantan Medical Centre, KMI Kelana Jaya Medical Centre dan KMI Taman Desa Medical Centre telah beroperasi sebagai Pusat Vaksinasi Hospital Swasta (PPVHS) dan memberikan vaksin kepada orang ramai sejak bulan Jun yang lalu," katanya.


Tag: