• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Golden Pharos Jayakan Program 'Walking With Giant'

HULU TERENGGANU, 9 Oktober - Anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC), Golden Pharos Berhad (GPB) telah menjayakan Program 'Walking With Giant' (WWG) bagi menerapkan amalan pembangunan secara lestari.

Ketua Pegawai Eksekutif GPB, Dr Mohd Zaki Hamzah, berkata ia bertepatan dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030) yang menganjurkan pembangunan perlu lestari dengan alam sekitar, kemasyarakatan serta perkara-perkara berkaitan.

Ujarnya, program WWG yang diadakan di 'Elephant Conversation Village' (KECV) melibatkan lebih 300 peserta terdiri daripada kakitangan GPB, subsidiari, komuniti terdekat, penduduk Orang Asal dan pelatih Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

"Ini merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang pertama diadakan oleh pihak kami. GPB bersama subsidirinya telah menyumbang sebanyak RM50,000 ringgit untuk digunakan oleh KECV dalam penjagaan, penyelenggaraan dan sebagainya.

"Insya-Allah harapan kami agar program seumpama ini akan terus diadakan di masa-masa akan datang dan ini merupakan satu tanggungjawab kami terhadap kehidupan liar.

"Bersama persijilan 'Forest Stewardship Council (FSC) bersama tanggungjawab dalam tadbir urus atau ESG, kita buat suatu aktiviti yang merangkumi semua dan inilah merupakan suatu program besar bagi kami dan harapan memberikan manfaat kepada kumpulan kami sendiri," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di program berkenaan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dr Mohd Zaki berkata, GPB merupakan syarikat pembalakan milik kerajaan negeri Terengganu yang diberi amanah oleh kerajaan negeri bagi menjaga kawasan hutan seluas 123,900 hektar di Dungun dan Kemaman.

"Hutan berkenaan adalah hak milik negeri dan kami hanya menjaga sahaja dan melaksanakan tanggungjawab berdasarkan garis panduan yang ditetapkan, kami menguruskan hutan berkeluasan besar iaitu hampir 124,000 hektar dan catuan tebangan dilakukan iaitu 1,900 hektar setiap tahun sahaja.

"Setiap tahun pengeluaran kayu sebanyak 45 meter padu perhektar dan GPB merupakan satu-satunya anak syarikat kerajaan negeri di Malaysia berjaya menguruskan pengeluaran produk kayu daripada hutan," ujarnya.