lightning-solid
Berita :
Gotong-Royong Madani SMKSS Kumpul 2.7 Tan Sampah
Gotong-Royong Madani SMKSS Kumpul 2.7 Tan Sampah
Pok Abbas
26 Jun 25
416

KUALA TERENGGANU, 26 Jun – Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS) berjaya mengumpul sebanyak 2.7 tan sisa buangan menerusi Program Gotong-Royong Kitar Semula Madani.

Pengetua SMKSS, Mohd Fadzli Yusof berkata, program itu memfokuskan kepada usaha mengitar semula bahan buangan di sekitar sekolah serta kawasan pesisir pantai berhampiran sebagai usaha menyemai kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.

“Program ini selaras dengan aspirasi Madani yang menekankan aspek kebersihan, kelestarian dan kerjasama dalam komuniti.

“Terima kasih atas komitmen semua pihak termasuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang menjadikan program ini realiti,” katanya semasa berucap dalam majlis tersebut, di sini semalam.

Beliau menjelaskan, amalan kitar semula tidak seharusnya dianggap remeh kerana setiap bahan yang dibuang secara sembarangan menyumbang kepada pencemaran jangka panjang.

“Botol plastik, kertas atau tin yang tidak diuruskan dengan betul akan terus membebankan alam sekitar.

“Dengan mengitar semula, kita bukan sahaja mengurangkan sampah, tetapi juga menjimatkan tenaga dan sumber asli,” jelasnya.

Tambahnya, SMKSS beriltizam menjadikan amalan kitar semula sebagai budaya harian yang dipraktikkan oleh semua warga sekolah.

“Marilah kita jadikan amalan ini satu kebiasaan, bukan sekadar aktiviti tahunan.

“Kesedaran ini perlu bermula dari dalam diri murid, guru dan seluruh komuniti sekolah,” tegas beliau.

Program tersebut disertai oleh murid, guru, alumni, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru pendidikan Islam (GPI) serta dijayakan dengan kerjasama strategik Geng Plastik Ija (GPI), yang aktif dalam usaha advokasi kitar semula di peringkat komuniti.

“Apabila kita berganding bahu mengurus bahan buangan, kita sedang membentuk komuniti yang lebih beretika dan prihatin.

“Usaha ini bukan hanya kerja fizikal, tapi pendidikan nilai yang memberi kesan jangka panjang,” ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan