KUALA TERENGGANU, 17 November - Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu mengubah pendekatan daripada sekadar melahirkan tenaga kerja kepada melahirkan graduan yang berupaya mencipta peluang pekerjaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan graduan TVET bukan sahaja mempunyai kemahiran untuk memenuhi keperluan pasaran kerja, tetapi juga mampu membangunkan peluang ekonomi sendiri.
"TVET sebagai contoh perlu mengubah pendekatan daripada terlalu berorientasikan melahirkan tenaga kerja kepada pendekatan yang lebih progresif, iaitu melahirkan graduan TVET yang mampu mencipta peluang pekerjaan.
"Untuk itu, pusat bertauliah milik kerajaan negeri perlu dinaik taraf supaya dapat menyokong hasrat dan cita-cita tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Enakmen Perbekalan 2027 pada Persidangan Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan menggerakkan ekonomi keluarga melalui pendekatan yang mampu meningkatkan keupayaan rakyat menjana pendapatan secara lebih mampan.
Katanya, peluang pekerjaan dan kemahiran keusahawanan perlu diperkasakan bagi membuka ruang kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, meningkatkan taraf ekonomi keluarga.