• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

'Guna Peluang Libatkan Diri Dalam Aktiviti Kemasyarakatan'

KUALA TERENGGANU, 10 Julai- Rakyat di Terengganu diseru memanfaatkan peluang yang ada untuk melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan sebagaimana sebelum pandemik Covid-19.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, memandangkan sambutan hari raya Aidiladha kali ini diraikan dalam suasana meriah, ia perlu digunakan sebaik mungkin oleh masyarakat.

"Saya rasa situasi ini perlu diambil serius oleh rakyat untuk kembali meningkatkan kehadiran ke masjid.

"Ini juga masanya untuk kita melibatkan diri dalam program-program masyarakat secara menyeluruh, bukan sahaja pada program korban hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu melawat Program Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) di Surau Pengkalan Kampung Setar Kanan, hari ini.

Dalam program berkenaan, sebanyak 30 ekor lembu dikorbankan untuk agihan penduduk DUN Rhu Rendang.

Dr. Samsuri turut berpesan supaya warga Terengganu lebih berdisiplin dalam pengurusan sampah, lebih-lebih lagi dalam musim perayaan ini.

"Dalam pengurusan sampah, langkah-langkah proaktif telah diambil pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Namun begitu, kita sedar bahawa setiap kali musim perayaan, pertambahan keluar dan pelancong menambahkan lagi tekanan untuk menguruskan sampah.

"Disiplin dalam membuang dan mengasingkan sampah di tempat sepatutnya akan memudahkan lagi pengurusan sampah," katanya.