• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Guna Pendekatan Mendidik Tangani Masalah Sosial Remaja

KUALA TERENGGANU, 5 Oktober- Kerajaan Negeri komited menangani masalah sosial di kalangan remaja menerusi kerjasama pelbagai pihak dengan mengutamakan pendekatan mendidik dan memberi bimbingan kepada golongan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, antara langkah yang dilaksanakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dengan memberi penerangan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kepada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, pengusaha hotel dan komuniti.

“Antaranya kempen pencegahan Jenayah Syariah melalui papan tanda, pamphlet, flyers dan hebahan di masjid-masjid (diedar dan dilaksanakan oleh unit penguatkuasaan daerah).

“Selain mengadakan operasi penguatkuasaan bersama agensi terpilih dilokasi ‘hotspot’ melalui rondaan pemantauan dan pencegahan dari masa ke semasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, semalam.

Selain itu katanya, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) mengambil insiatif mengadakan program-program kepada belia dan beliawanis dan pelajar-pelajar sekolah bersama ibu bapa berbentuk ceramah dan motivasi.

“Antaranya, Program Fityah Terengganu (FATEH) 'Taklif' (Pemantapan Tanggungjawab Ibu bapa & anak-anak) yang bertujuan untuk memberi kesedaran kepada anak-anak tanggungjawab sebagai khalifah pewaris legasi anak Terengganu. 

 “Program Generasi Islah Falah Terengganu (GIFT) “Ingatlah Sayang atau Ingat Sebelum Terkena” pula dilaksanakan bagi memberi kesedaran tentang isu-isu sosial dan memberi kefahaman tentang aplikasi salah laku dalam masyarakat serta memperkasakan sifat jati diri belia dalam menangani arus kehidupan global disamping memberi panduan yang betul dalam mendidik remaja bagi mengelakkan diri dari terlibat dalam kancah keruntuhan moral,” jelasnya.

Sementara itu katanya, dalam usaha membanteras masalah penagihan dadah di kalangan remaja Negeri Terengganu, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu melalui tujuh buah AADK Daerah telah melaksanakan pelbagai usaha. 

“Termasuk bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu untuk mengadakan urin mengejut setiap tahun di sekolah menengah yang telah ditetapkan oleh JPNT. 

“Pemilihan pelajar untuk diurin juga adalah berdasarkan perbincangan antara guru kaunseling serta pegawai AADK yang telah ditugaskan melalui beberapa kriteria,” jelasnya.