• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Haji Cilik Little Caliph 12 Julai Ini




Little Caliphs International Sdn. Bhd. (LCSISB) dengan kerjasama pengusaha The Little Caliph seluruh Malaysia menganjurkan Program Simulasi Haji bagi murid Tadika Little Caliph berusia enam tahun buat kali keempat sepanjang 2018, pada 12 Julai ini.

Program dijalankan serentak seluruh negara dan dibahagikan mengikut lapan zon/negeri iaitu Zon Tengah (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya), Zon Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak), Zon Selatan (Melaka, Negeri Sembilan), Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.
Di Terengganu, program dilaksanakan di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun.

Ketua Pegawai Eksekutif LCSISB, Roslan Nordin berkata,  peserta didedahkan dengan keadaan sebenar sebelum dan semasa mengerjakan ibadah haji bagi memastikan mereka memahami konsep sebenar Rukun Islam ke lima  itu.

Jelasnya, seramai 150 orang pengusaha daripada 350 buah tadika termasuk Sabah dan Sarawak bersedia bertungkus-lumus menyantuni anak-anak cilik untuk ‘Naik Haji’.

“Semua peserta memakai ihram dan urusetia turut menyediakan replika Kaabah, kaunter imigresen, tempat wukuf, mengutip batu dan melontar jamrah, Bukit Safa dan Marwah serta kawasan bertahallul.

“Jika sebelum ini kebanyakan kanak-kanak menghantar ahli keluarga mereka seperti datuk dan nenek ke Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, namun hakikatnya tidak ramai yang mengetahui konsep, motif dan cara sebenar mengerjakan haji," katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Menurut Roslan, objektif utama penganjuran Program Simulasi Little Hajj 2018 adalah bermotifkan gambaran praktikal yang jelas kepada murid-murid berumur enam tahun seiring dengan kaedah pembelajaran secara simulasi seiring dengan pendekatan Metodologi Project Based Learning secara hands-on The Little Caliphs Program.

Sementara itu, penyertaan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya melibatkan 5,642 peserta,  manakala 587 orang guru-guru Tadika Little Caliph bertindak sebagai tenaga Mutawwif dan juga sukarela yang membantu melaksanakan program ini. Manakala jumlah peserta seluruh negara tahun ini mencatatkan jumlah 10,264 orang anak-anak cilik berusia enam tahun.

Roslan turut menambah, program itu juga antara latihan praktikal yang amat berguna kepada kanak-kanak kerana mereka pastinya akan mengingati setiap latihan yang diajar dan pernah dilakukan.

"Little Caliph sentiasa menyediakan ruang dan peluang yang luas untuk kanak-kanak yang aktif dan sering mahu meneroka dunia yang penuh warna-warni ini. Moga-moga tersemat dalam hati mereka dan menyimpan impian besar untuk ke Tanah Suci Mekah kelak,"ujarnya lagi.

Untuk rekod, Little Caliph 2017 dilaksanakan secara serentak seluruh negara berjaya mencatatkan sejarah gemilang dengan merangkul gelaran Malaysia Book of Records sebagai penyertaan serentak terbesar oleh kanak-kanak untuk simulasi ibadah haji yang melibatkan 6,456 pelajar Tadika Little Caliph berumur enam tahun, 150 orang pengusaha dari 212 buah tadika.


Tag: