• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

Hampir 10,000 Jawatan Kosong Sempena Karnival Penjana Pekerjaan 2021

KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Karnival Penjana Pekerjaan Negeri Terengganu 2021 yang dijadualkan pada bulan April ini bakal membuka hampir 10,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, karnival tersebut akan diusahakan pada pertengahan April dengan cadangan tempatnya di Pusat Sains dan Kreativiti (PSKT), Chendering.

“Peluang ini sangat menarik kerana ia mendapat sambutan baik daripada pelbagai majikan melalui peruntukan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk menggunakan saluran ini.

“Insya-Allah, kerajaan negeri bersama Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) akan menjadi perantara antara majikan dan rakyat yang terkesan dengan kemelesetan ekonomi akibat COVID-19 serta yang ingin mencari peluang pekerjaan.

“Setakat ini kita mendapat majikan-majikan berdaftar sama ada secara fizikal atau 'online' dengan menyediakan 9,900 lebih peluang pekerjaan yang menanti,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi semalam.

Sementara itu, beliau turut meramalkan sambutan akan mencecah hingga 50,000 orang yang akan memeriahkan karnival peringkat negeri tersebut.

“Dengan norma baharu disebabkan pandemik, cadangan lokasi iaitu PSKT adalah strategik dan selesa buat para pengunjung," jelasnya.

Sebelumnya, Khuzaini menyifatkan karnival itu adalah yang terbesar pernah dianjurkan dalam tempoh COVID-19 dengan penglibatan lebih 80 majikan daripada pelbagai bidang.

Untuk rekod, Penjana Pekerjaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bertujuan untuk merangsang permintaan pekerjaan di kalangan majikan dan meningkatkan peluang pekerjaan serta kebolehpekerjaan di kalangan pencari pekerja tempatan.