• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Hampir RM8 Juta Berjaya Disalurkan Manfaat Daripada SBMT

KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) mencatatkan rekod pengagihan dana hampir mencecah RM8 Juta sejak ia mula dilancarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata Negeri Terengganu antara satu-satunya negeri yang menyediakan kemudahan bantuan modal seperti ini kepada warga tani, penternak dan nelayan.

"Untuk rekod, sejak SBMT mula diwujudkan pada tahun 2019, sebanyak RM7,658,693 telah disalurkan kepada 424 orang penerima.

"Walau kita akui SMBT ini masih ada kekurangan dan kelemahan yang perlu diperbaiki tapi jangan dinafikan jasa dan sumbangan SBMT kepada warga tani Terengganu dalam menyelesaikan isu masalah kekurangan modal.

Malah, bukan hanya bagi modal melalui SBMT bahkan kita perkukuhkan lagi dengan Kursus Pemantapan Projek bagi menjayakan perlaksanaan projek-projek berjalan dengan sebaiknya dalam satu rantaian lengkap,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kursus Pemantapan Projek (SBMT) Siri 1/2022 di Pusat Sains Dan Kreatif Terengganu, kelmarin.

Dalam pada itu, beliau turun melawat beberapa tapak projek yang diusahakan petani dan penternak yang terpilih sempena Program Walkabout Projek Usahawan SBMT Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Payong dan Alor Limbat, Marang.

Diantara yang terpilih ialah Suhairi dan Suhaizi, merupakan dua beradik dari Kampung Tok Dir Marang gigih mengusahakan ternakan lembu secara ‘feedlot’.

"Kita telah bagi bantuan modal kepada anak muda bersemangat tinggi ini sebanyak RM60 ribu melalui SBMT Kerajaan Negeri Terengganu.  Bantuan dalam bentuk bagi kail dan umpan inilah yang menjadi keutamaan kita berbanding bantuan bagi ikan.


"Manakala Mohd Syafiq dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat Marang juga antara anak muda usahawan tani yang dibiayai dengan dana ini dibawah bimbingan Pertubuhan Peladang Kawasan Bukit Payong Marang.

"Tahniah anak muda ini yang gigih mengusahakan tanaman Cili Sakata atau Cili Minyak sebanyak 1200 polibeg. Harga kini di pasaran RM11/kg,"ujarnya.