KUALA TERENGGANU, 24 Februari – Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat menggesa pengamal media dan orang ramai supaya hadir mengikuti prosiding perbicaraan kes terhadapnya, dengan alasan keterangan sebenar hanya dapat difahami apabila didengar terus di mahkamah.
Menurutnya, kehadiran media penting bagi memastikan laporan yang disampaikan kepada rakyat berpaksikan fakta yang dibentangkan sepanjang perbicaraan, bukan sekadar dakwaan di luar mahkamah sekali gus membersihkan fitnah terhadap dirinya.
“Saya hendak mengajak pengamal media hadir semasa pembicaraan kes untuk mendengar keterangan saksi-saksi dari sebelah sana,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah di sini, hari ini.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai berusia 66 tahun itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua pertuduhan menggunakan kedudukan bagi kepentingan dua anak lelakinya pada tahun 2018 dan 2020.
Pertuduhan dibacakan di hadapan hakim sebelum beliau membuat pengakuan tersebut dengan tenang.
Mengikut pertuduhan, Hanafiah didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai Exco kerajaan negeri dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn. Bhd. bagi mendapatkan manfaat untuk ahli keluarganya.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan akan memberi kerjasama penuh sepanjang prosiding dan mahu proses perundangan berjalan secara terbuka dan adil.
Dalam perkembangan sama, Hanafiah berkata beliau telah menerima makluman daripada Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar supaya meneruskan tugas rasmi seperti biasa.
“MB sudah keluar arahan untuk saya meneruskan tugas-tugas sebagai Exco kerajaan negeri seperti biasa. Insya-Allah saya akan jalankan tugas tanpa terganggu,” katanya.
Kes tersebut kini dalam proses perbicaraan lanjut.
Hanafiah sebelum ini kekal menjalankan tanggungjawab sebagai Exco dan mempengerusikan portfolio berkaitan pembangunan infrastruktur serta luar bandar negeri.
Perbicaraan dijangka menyaksikan keterangan saksi-saksi daripada pihak pendakwaan sebelum mahkamah membuat penilaian lanjut berdasarkan fakta dan hujahan kedua-dua pihak.