• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Hanya PAS Tampilkan Calon Wanita di Terengganu

MARANG, 27 Julai - Hanya PAS yang menampilkan calon wanita bagi bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada 12 Ogos nanti.

Perkara tersebut disahkan selepas semua parti mengumumkan calon masing-masing termasuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang menyaksikan semua calon lelaki.

Sebentar tadi, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Hussain Awang mengisytiharkan Zuraida Md Noor, 43, sebagai calon PAS di DUN Ladang di hadapan 30 ribu penyokong di Dewan Tok Guru, Rusila.

Pengisytiharan itu menyaksikan Zuraida bakal menggantikan Dato' Tengku Hassan Tengku Omar yang menjadi wakil rakyat di DUN terbabit pada penggal lepas.

Zuraida ketika ditemui media berkata, beliau bertekad untuk meneruskan legasi Tengku Hassan dan menambah baik segala perancangan terdahulu.

"Banyak sektor yang akan diberi perhatian, bukan hanya berkait soal wanita, tetapi isu sosial, pendidikan, pekerjaan, kebajikan, agama dan belia," katanya.

Mantan ADUN Wanita (dilantik) itu turut berkata, pelantikannya sebagai calon PAS membuktikan parti itu mengiktiraf peranan wanita dalam pentadbiran 

"Ini bukti PAS percaya dengan apa yang boleh disumbangkan kaum wanita, PAS mengangkat martabat wanita untuk terlibat sama untuk mengurus kerajaan," jelasnya.


Tag: