• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Hanya Perarakan Pakaian, Replika Senjata dan Warisan Islam' - Polis

KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Polis Terengganu mengesahkan gambar yang tular di media sosial yang disyaki anjuran sebuah parti politik adalah acara perarakan pakaian, replika senjata dan warisan Islam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, siasatan awal pihaknya mendapati ia berlaku pada 17 Februari di sebuah resort di daerah Setiu.

"Perarakan tersebut merupakan salah satu daripada acara yang dipertandingkan pada program itu iaitu reka cipta bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam.

"Pertandingan itu melibatkan semua daerah, namun hanya satu daerah sahaja yang mengenakan pakaian dan replika senjata Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihak polis mengetahui tentang penganjuran program terbabit tidak mendapat gambaran keseluruham aktiviti.

"Aktiviti tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan kegusaran di kalangan sesetengah masyarakat.

"Jadi pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti apa-apa kesalahan yang dilakukan dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Terdahulu, bekas calon PH bagi Parlimen Kuala Krai pada PRU15, Sham Ghaz, mahu pihak polis mengambil tindakan terhadap pemuda PAS terlibat kerana dipercayai membawa senjata merbahaya.

"Nampak seperti ada unsur-unsur menggugat ketenteraman awam," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, pemakaian ala perang oleh pasukan yang menyertai perarakan dengan membawa replika senjata dan perlindungan diri sama seperti pertandingan pakaian beragam dianjurkan di seluruh negara.

"Ada pasukan menyertai perarakan membawa tema sukan, pelantar minyak, Wisma Darul Iman dan menunggang kuda pada penganjuran Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) yang diadakan Jumaat lalu.

"Tiada istilah keganasan dan provokasi, sebaliknya perarakan mengambarkan kreativiti peserta yang mempamerkan idea masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Tag: