• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

'Hanya PM Layak Buat Penilaian, Bukan Jazlan'

MARANG, 4 Julai – Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan bahawa hanya Perdana Menteri dan rakyat yang berhak membuat penilaian terhadap prestasi Jemaah Menteri.

Perkara demikian sekali gus menyangkal dakwaan bekas Ahli Parlimen Pulai, Nur Jazlan Mohamed yang mengatakan Menteri Kabinet daripada Pas gagal memikul tanggungjawab dengan baik.

“Saya meneliti juga menteri Pas mana yang ‘cap ayam’, bukan dia (Nur Jazlan) yang berhak untuk membuat penilaian.

“Penilaian prestasi adalah daripada Perdana Menteri, bukan orang luar yang tiada kena mengena serta berkepentingan peribadi.

“Selain rakyat, Perdana Menteri yang menilai kerana kabinet beliau (Perdana Menteri) dan kita sentiasa adakan pertemuan, pembentangan laporan dan sebagainya,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai Marang di Dewan Sivik Merchang, di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman; serta Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Hanizan Deraman.

Tuan Ibrahim turut berkata, pihak kerajaan pada hari ini bekerja dengan kukuh dengan mengenepikan agenda parti politik dalam mesyuarat kabinet.

"Biar Perdana Menteri dan masyarakat yang menilai kerja buat kita, yang penting kita buat kerja sungguh-sungguh,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Pas turut berkata, penggunaan bendera PAS bagi pilihan raya hanyalah bersifat cadangan.

“Perkara demikian (penggunaan bendera) belum muktamad, itu cadangan dari beberapa pihak tapi parti belum lagi buat keputusan.

“Saya fikir apa yang telah disebutkan itu berdasarkan pilihanraya sebelum ini bagi mereka,” tambahnya lagi.

 

 


Tag: