• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Hanya Seorang Graduan Palestin Hadir Konvokesyen UniSZA, Empat Gagal Dihubungi

KUALA NERUS, 5 November - Enam graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)  dari Palestin merupakan antara 3,608 graduan  yang menerima ijazah dan diploma pada Majlis Konvokesyen UniSZA kali ke-15 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah di sini bermula Ahad hingga Rabu ini.

Bagaimanapun, hanya seorang yang hadir iaitu graduan PhD Fakulti Sains Kesihatan, Hanan Kamel Mohammed Saad, 51, manakala empat graduan Palestin yang lain gagal dihubungi dan tidak diketahui status keberadaan mereka ketika ini.

Manakala, graduan Fakulti Informatik dan Komputeran, Saber T R Syouri, 50, membuat satu hantaran video yang ditayangkan pada istiadat Majlis Konvokesyen UniSZA kali ke-15 (Sidang Pertama) bagi memaklumkan dia tidak dapat datang ke konvokesyen kali ini.

Dia memaklumkan situasi yang memburuk sedang berlaku di Palestin ketika ini dan memohon doa untuk Palestin.

"Saya minta maaf, betul-betul minta maaf. Saya tidak dapat berada di sana (UniSZA) pada hari istimewa ini untuk bergraduasi.

"Ini kerana situasi di sini berbahaya dan rumit. Mohon, berdoalah dan doakan Palestin dan umat Islam. Mohon doakan untuk Palestin.

"Terima kasih atas segala-galanya...terima kasih Terengganu. Terima kasih UniSZA dan terima kasih pada semua," katanya.

Difahamkan, Saber kini berlindung di Tebing Barat dan beliau telah kehilangan ahli keluarga termasuk anak perempuan serta anak lelaki dalam serangan Israel ke atas Palestin baru-baru ini.

Sementara itu, Hanan  ketika ditemui  berkata  dia berpeluang hadir ke majlis konvokesyen kerana masih berada di Terengganu selepas menamatkan pengajian di UniSZA kerana larangan masuk ke Gaza atas risiko keselamatan.

Dia yang hadir tanpa ditemani ahli keluarga cuba menahan rasa sedih ketika menerima skroll ijazah daripada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah tetap berasa bersyukur kerana sehingga hari ini keluarganya masih selamat dan dapat dihubungi di Gaza, Palestin.

"Kali terakhir saya menghubungi keluarga semalam walaupun keadaan internet di sana agak lemah dan kerap terputus namun bersyukur masih dapat berbalas mesej dengan mereka menerusi Facebook dan Instagram.

"Saya bersyukur dan sangat merindukan mereka. Ingatan saya sentiasa kepada keluarga selain mendoakan kesejahteraan mereka supaya dilindungi Allah dan kekal selamat di Gaza," katanya yang ingin mencari peluang kerja lebih baik di Malaysia.

Dia turut menyimpan harapan Palestin mendapat kebebasan seperti diperjuangkan dan pulang untuk menemui keluarganya pada satu masa nanti.